Misteri Nora Anne: Tiada kaitan dengan status resort, kata Exco

Teo Kok Seong (tengah) pada sidang media hari ini.
Teo Kok Seong (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Resort The Dusun, Jalan Pantai di sini, merupakan antara lima daripada 18 resort yang dalam permohonan untuk mendapatkan lesen pengoperasian dari Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, hanya 30 peratus sahaja permohonan daripada pemilik resort di Pantai Hill ini telah mengemukakan permohonan dalam usaha mendapatkan permit perniagaan.

Katanya, insiden kehilangan remaja Ireland, Nora Anne yang berlaku pada Ahad lalu tiada kaitan dengan status resort tersebut memandangkan tindakan ops pemutihan di kawasan itu sudah dijalankan sejak Jun lalu.

“Sejak Jun lalu kita telah melaksanakan ops pemutihan ini, termasuk berjumpa dengan semua pemilik resort agar mengemukakan permohonan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada komersial. Setakat ini hanya 30 peratus sahaja sudah membuat permohonan, selebihnya borang permohonan belum kami terima.

“Permohonan yang telah kami terima termasuk resort The Dusun yang diduduki keluarga Nora Anne, dan kami berharap lebih kurang 13 lagi pemilik resort di Pantai Hill ini segera mengemukakan permohonan sebelum Oktober ini.

“Tindakan tegas termasuk menutup pengoperasian akan dilaksanakan jika masih ada pemilik resort yang gagal membuat permohonan dan tidak memberi kerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, insiden yang berlaku di resort The Dusun ini perlu dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pemilik resort yang beroperasi di kawasan tersebut.

Katanya, tahap keselamatan termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) perlu dipertingkatkan di seluruh kawasan resort bagi membolehkan pihak pengurusan memantau keadaan sekeliling.

“Pengusaha di resort ini bukan orang baru, mereka semua ada pengalaman yang lama jadi kita berharap mereka dapat mengambil insiden kehilangan ini sebagai pengajaran dan tauladan buat semua.

“Dalam kita mahu meningkatkan kedatangan pelancong datang ke kawasan itu, tahap-tahap keselamatan sekeliling juga perlu dititik beratkan agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, Kok Seong memberitahu, kebanyakan resort berkenaan tidak mempunyai permit untuk beroperasi kerana gagal mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah pembinaan bangunan tidak mendapat kebenaran dan dibina di atas tanah pertanian bagi tujuan komersil.

Selain itu, kedudukan bangunan yang agak bercerun dan dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan, kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

Turut dibangkitkan, isu penggunaan tanah pertanian untuk tujuan komersil serta penggunaan air dari bukit juga menyalahi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!