SBEZ Bukit Kayu Hitam dijangka siap dua tahun
ALOR SETAR - Hab logistik Kota Perdana yang akan dibangunkan di kawasan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Bukit Kayu Hitam dijangka siap dan beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembangunan hab itu kini dalam proses permohonan kebenaran merancang selain pemaju, Northern Gateway Sdn Bhd sedang mengenal pasti syarikat untuk menjadi rakan niaga strategiknya.
Menurutnya, Northern Gateway Sdn Bhd kini pada peringkat akhir memuktamadkan rundingan kerjasama dengan syarikat terlibat.
“Komponen paling awal yang boleh disiapkan ialah depot lori. Ia tidak ambil masa lama kerana kita sedia maklum baru-baru ini telah buka pintu sempadan 24 jam.
"Jumlah lori membawa kontena sudah mulai masuk dan depot lori ini akan disiapkan segera,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Bersatu-Guar Chempedak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Aman hari ini.
Menurutnya, pembangunan SBEZ melibatkan beberapa komponen seperti hab halal, logistik, industri, perumahan, pembangunan infrastruktur, jalinan kereta api serta jalan raya.
“Saya yakin kawasan Bukit Kayu Hitam akan menjadi rancak apabila ia beroperasi kelak,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz turut memaklumkan kerajaan negeri telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan pemaju dari China, Capital Global untuk membangunkan tanah kepunyaan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Kedah Science and Technology Park (KSTP), di Bukit Kayu Hitam.
“Pajakan selama 60 tahun ini membolehkan Capital Global menyediakan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di taman industri KSTP,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Bersatu-Anak Bukit) berhubung kesesakan di pintu sempadan selepas dibuka 24 jam, Mukhriz berkata, tindakan itu memudahkan urusan keluar masuk dua negara, berbanding sebelum ini apabila ia berdepan kesesakan.
“Tujuan kita buka pintu sempadan untuk atasi kesesakan kontena yang beratur di sempadan Thailand menunggu pintu negara dibuka, namun tempat memproses pengeluaran barang ke Malaysia diubah menyebabkan urusan ambil masa sehingga empat jam berbanding hanya dua jam sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu Mukhriz berkata, pihaknya akan memperhalusi perkara ini bersama kerajaan Thailand.
“Antara cadangan yang secara prinsipnya dipersetujui Thailand adalah diadakan satu pelepasan pemeriksaan kontena di Bukit Kayu Hitam dengan kehadiran pegawai Kastam dari dua negara, berbanding amalan melakukan pemeriksaan sebanyak tiga kali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!