Karnival Jeram 27 hingga 29 September ini
SHAH ALAM - Warga Selangor dipelawa menghadiri Karnival Jeram berlangsung selama tiga hari bermula 27 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, karnival terbesar pertama kali dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Jeram itu bakal dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.
Menurutnya, 25 acara bakal berlangsung sebagai pengisian dalam program yang diadakan di pekarangan pejabatnya di Puncak Alam.
“Antara program dirangka dalam program itu termasuk jualan buku di trak Book2u dan peraduan mewarna yang mendapat kerjasama Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf).
“Selain itu, pelbagai acara lain akan diadakan termasuk pertandingan dan persembahan Muay Thai, silat, beyblade dan lain-lain. Turut menyertai karnival ini ialah agensi kerajaan termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Hijrah dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” katanya
Mohd Shaid berkata, pengunjung juga berpeluang bertemu Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang akan berkongsi pengalamannya.
“Kita harap program ini bukan saja mendapat sambutan daripada hampir 100,000 masyarakat sekitar malah penduduk di daerah lain di Selangor.
“Jika dapat sambutan menggalakkan kita akan jadikan ia program tahunan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!