'Konon cari pokok herba, rupanya pencuri'
SUNGAI PETANI - Kehadiran warga asing di sekitar Tikam Batu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di sini kerana dipercayai terlibat dalam penipuan, kecurian dan pecah rumah.
Penduduk, Mohd Hashim Saaludin, 72, dari Taman Setia Budi berkata, pada 1 Ogos lalu, isterinya didatangi seorang lelaki dan dua wanita yang kononnya mahu mendapatkan pokok herba kira-kira jam 11.45 pagi di rumahnya.
Menurutnya, ketika kejadian, isteri baharu sahaja tiba di rumah sebelum disapa suspek yang mahu mencari daun herba untuk berubat.
"Mereka suruh isteri saya petik daun sirih, daun kunyit dan dahan bunga kertas.
"Ketika sedang bersembang di luar rumah mereka dahaga dan minta air. Tidak lama kemudian, saya sampai ke rumah dan sempat berborak sebelum mereka meminta izin beredar," katanya.
Mohd Hashim berkata, selepas itu dia menyedari susun atur barangan belakang rumah tidak berada di kedudukan asal selain terdapat kesan umpil pintu kaca serta tingkap.
"Selepas periksa dalam rumah kami sedar bilik tidur telah digeledah di mana wang tunai sebanyak RM200, kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik), kad pengenalan dan lesen memandu hilang," katanya.
Sementara itu, Ahmad Puad Omar, 68, berkata, rumahnya terletak di Jalan Belakang Pekan Tikam Batu kira-kira 300 meter dari rumah Mohd Hashim turut didatangi kumpulan sama yang bertanyakan mengenai isterinya.
"Bila jawab isteri tiada, dua orang wanita itu memberitahu hendak ambil pokok ubat dan saya kata itu pokok mata kucing tapi mereka tetap mahukannya.
"Dia minta saya petik sebab kalau depa petik, daun untuk mandikan mak yang sakit kononnya tidak 'menjadi'," katanya.
Ahmad Puad berkata, ketika itu dia curiga selepas melihat salah seorang suspek menjenguk ke arah tingkap rumah sebelum beredar.
Menurutnya, keesokan hari dia juga menyedari sebuah kereta jenis Proton Preve yang dinaiki tiga warga asing itu melintas di depan rumahnya sebanyak dua kali.
Katanya, selepas berjumpa penduduk lain, baru mereka sedar bahawa empat buah rumah telah dikunjungi kumpulan sama pada hari terbabit.
"Baru kami tahu rupa-rupanya kegiatan mereka sudah heboh, ramai telah jadi mangsa dan berita terbaharu suspek ditahan orang kampung yang mencurigai pergerakan mereka," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam kejadian 9 pagi pada 26 Julai lalu, sebuah rumah di Tikam Batu telah dipecah masuk membabitkan kehilangan wang tunai sebanyak RM4,000 dan barang kemas lebih kurang RM16,000.
Menurutnya, kehadiran suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita warga Myanmar ke lokasi sama pada 2 Ogos lalu membawa padah sehingga membolehkan orang awam menahan mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!