BUTTERWORTH - Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul anak gadisnya berusia 15 tahun, minggu lepas. Lelaki itu yang berusia 38 tahun didakwa melakukan amang seksual ke atas anak perempuannya dengan menyentuh badan mangsa di sebuah rumah di Perai dekat sini pada 7.20 pagi, 17 Disember lalu. Pekerja kontrak itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh bagaimanapun tertuduh merayu agar dibenar ikat jamin. Hakim Noor Aini Yusof tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan kes bagi melantik peguam.- Bernama