Syarikat pengendali restoran mamak didenda RM5,000

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Sebuah syarikat pengendali restoran mamak terkenal didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang hari ini kerana gagal mengemukakan dokumen serta rekod gaji pekerja yang diperlukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tiga tahun lalu.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Central Market Fish Head Curry Sdn Bhd yang diwakili salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya, Mohamed Kader Shahul Hameed selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Syarikat tersebut didakwa gagal mematuhi saman jabatan untuk mengemukakan rekod-rekod gaji pekerja bagi semakan caruman Perkeso di bawah Skim Perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969.

Dakwaan dikemukakan mengikut seksyen 110(2) Akta Keselamatan Sosial 1969 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso, Khairul Anuar Musa manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perkeso, syarikat tersebut telah diperiksa oleh pegawai dari Perkeso Kajang pada 27 Julai 2016, namun majikan tidak mengemukakan rekod gaji dan dokumen kepada pegawai pemeriksa semasa lawatan.

Selain itu, majikan tersebut juga tidak mengendahkan permintaan dari pegawai pemeriksa untuk menjalankan pemeriksaan.

Sehubungan itu, Perkeso Kajang telah mengeluarkan Arahan Pematuhan ke atas majikan untuk mengemukakan dokumen telah dikeluarkan pada 27 Julai 2017 dan diikuti dua surat peringatan.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perkeso Kajang juga telah mengeluarkan saman jabatan namun majikan tersebut masih engkar untuk mengemukakan dokumen yang diminta, sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!