MB Selangor bertemu pimpinan PH Selangor esok
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor di kediaman rasminya di sini petang esok.
Sinar Harian difahamkan selain membincangkan urusan pentadbiran negeri, pertemuan itu diadakan berkemungkinan ada kaitan dengan kemelut pergolakan pentadbiran kerajaan Selangor ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim berkata, pertemuan tersebut merupakan perbincangan biasa yang diadakan dua bulan sekali bersama menteri besar.
"Tiada isu, ia sekadar pertemuan biasa, berbincang soal pentadbiran negeri dan merangkumi semua aspek," katanya.
Ditanya sama ada pertemuan tersebut akan menyentuh cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak, beliau berkata, isu tersebut merupakan isu lama.
"Isu tu, isu yang lama. Saya tak pasti sama ada ia akan dibincangkan esok atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pertemuan tersebut hanya melibatkan antara pemimpin PH bukannya semua ADUN.
"Saya sedia maklum mengenai pertemuan itu, namun setahu saya ia merupakan satu perjumpaan biasa, hanya melibatkan ADUN yang ada jawatan dalam pimpinan parti dan pemimpin parti komponen PH di peringkat negeri.
"Pada saya ia merupakan satu pertemuan biasa. Tak pasti apa yang akan dibincangkan nanti," katanya.
Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, pertemuan bersama pimpinan PH itu adalah mesyuarat biasa untuk berbincang mengenai pelbagai aspek.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Majlis Ramah Mesra Menteri Besar bersama pemimpin masyarakat Selangor malam esok katanya, itu hanya melibatkan ADUN dan pimpinan parti PKR.
"Ia bagi membincangkan soal pentadbiran kerajaan negeri dan penjelasan mengenai isu berbangkit dalam kalangan akar umbi," katanya.
Terdahulu, Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari sudah mengadakan pertemuan tertutup dengan ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kediaman rasminya 1 Ogos lalu.
Turut hadir seorang ADUN daripada parti Bersatu yang juga adalah ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah.
Bagaimanapun, perjumpaan tersebut dikatakan hanya membincangkan berkaitan Dasar Komuniti Negara.
Antara ADUN yang hadir pada perjumpaan itu adalah Azmizan Zaman Huri (Pelabuhan Klang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!