Najib dedah pejabatnya pernah terima ancaman peluru
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pernah menerima ancaman peluru, yang dihantar ke Ibu Pejabat Umno Bahagian Pekan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Najib berkata, penembak yang tidak dikenali dan masih bebas itu menggunakan senjata jenis sniper dan menyasarkan pada sudut cermin pejabat Umno Pekan pada jarak 200 meter.
“Setahun lebih sebelum pilihan raya umum ada penembak tepat yang tembak peluru ke bilik saya di Umno Bahagian Pekan.
“Dia hendak hantar mesej kepada saya, sedangkan tahu saya tidak ada di sana. Dia (penembak) itu hantar peluru pada sudut cermin. Peluru itu ditembak pada jarak 200 meter.
“Polis masih tidak dapat kesan siapa pelaku. Senapang yang digunakan adalah jenis “long range”,” katanya dalam Wacana Ilmu Hard Truth: “Cash is king” di Menara Datuk Onn malam ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian menjawab soalan yang diajukan kepadanya, mengenai perubahan pendekatan yang digunakannya selepas tewas pada pilihan raya umum lalu dan sewaktu beliau menjawat tugas sebagai Perdana Menteri.
“Ada orang tanya kenapa saya lain, sewaktu jadi Perdana Menteri dan selepas tidak mempunyai jawatan. Saya katakan jawatan Perdana Menteri ini susah. Ada protokol yang perlu saya ikuti.
“Saya dikongkong seolah-olah ada pagar mengelilingi saya, sedangkan itu bukanlah kehendak saya. Sekarang ini tidak mengapa, hendak letak tangah atas bahu pun tidak ada masalah, jangan raba sudah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib turut menjelaskan mengenai isu kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas).
Menurutnya, beliau setuju dengan pembinaan kilang berkenaan namun khuatir dengan sisa dari syarikat itu.
“Soal Lynas kita tidak boleh lari dari pendirian kita dahulu. Saya sebagai Perdana Menteri dahulu, saya sokong Lynas beroperasi di Malaysia. Tetapi saya khuatir sikit dengan sisa-sisa.
“Masa itu, saya fikir kalau ada cara sisa itu dibawa keluar, itu cara yang terbaik. Jadi rakyat akan rasa selamat, lebih yakin. Namun tidak ada ancaman, ia dibuat pembangkang sahaja,” katanya.
Najib berkata, rakyat ketika ini perlu menuntut pemimpin Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janjinya sebelum ini, yang membantah operasi Lynas di dalam negara.
“Saya tuntut mereka letak jawatan sekarang ini, sebab mereka sudah tipu rakyat terutamanya Ahli Parlimen Kuantan dan Ahli Parlimen Bentong. Mereka ini kena letak jawatan, sebab sudah tipu rakyat.
“Jika ada maruah, letaklah jawatan tetapi saya tidak rasa mereka mempunyai maruah. Bagi PH, maruah ini soal yang tidak penting, sebab itu mereka boleh buat pusingan U, semua boleh buat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!