120kg emas hasilkan benang Kiswah Kaabah
MAKKAH - Sejumlah 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak digunakan untuk menghasilkan kelambu Kaabah yang dikenali sebagai Kiswah.
Timbalan Pengarah Muzium Senibina dan Kilang Kiswah Dua Masjid Suci, Hisham Alaadin berkata, setiap tahun Kiswah ditenun menggunakan 670 kilogram benang sutera yang disulam dengan benang emas dan perak bagi melindungi binaan Kaabah itu.
Menurut beliau, kain sutera untuk membuat Kiswah dibeli dari Itali dan kosnya meningkat disebabkan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat dan mata wang Euro.
"Pembuatan Kiswah kini menggabungkan hasil kerja tangan dan juga penggunaan mesin berteknologi bagi memastikan kualiti kelambu Baitullah itu tetap terpelihara," katanya ketika memberikan penerangan mengenai pembuatan Kiswah kepada delegasi media di kilangnya di pinggir Kota Makkah semalam.
Jelas Hisham lagi, Kiswah pertama dibuat di Makkah pada tahun 1346 Hijrah ketika pemerintahan Almarhum Al Malik Abdul Aziz Abdul Rahman Al Saud.
"Benang sutera bersalut emas dan perak disulam di atas kain hitam membentuk tulisan ayat-ayat al-Quran," katanya.
Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah itu adalah kiblat atau arah semua umat Islam ketika solat.
Kiswah yang dihasilkan daripada kain sutera hitam bersulam benang emas dan perak itu berukuran 14 meter tinggi dan 47 meter panjang.
Ia terdiri daripada lima lapisan kain, termasuk tirai yang menutup pintu Kaabah, yang dijahit serta disulam kainnya. Ia memakan masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan.
Kiswah ditukar dua kali setahun iaitu pada Syaaban sebelum kedatangan bulan suci Ramadan dan sekali lagi pada hari Arafah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!