Lelaki Nigeria maut, kereta dipandu langgar pokok
CYBERJAYA - Seorang lelaki warga Nigeria maut apabila kereta dipandunya terbabas melanggar pokok sebelum terbalik di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya di sini, hari ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor pada jam 6.20 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya bergegas ke lokasi.
"Sebaik sahaja tiba, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki warga Nigeria berumur 24 tahun.
"Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhammad Saad Yuguda diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!