Rakyat perlu matang seiring usia kemerdekaan
ALOR SETAR - Rakyat negara ini seharusnya matang seiring dengan usia kemerdekaan negara yang bakal mencecah usia 62 tahun pada 31 Ogos ini, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurutnya, semangat kecintaan kepada negara seharusnya sudah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia dan perlu sama-sama pertahankan keamanan yang telah dinikmati selama ini.
"Sebagai warganegara Malaysia, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara adalah detik terpenting dalam sejarah dan perlu sentiasa diingati oleh kita semua.
"Walaupun lahir selepas detik bersejarah itu dicapai, namun sebagai warganegara, kita perlu faham dan tahu sejarah serta perjuangan datuk nenek, ibu bapa kita dan para pemimpin negara untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Aman Central semalam.
Beliau berkata, kempen tersebut adalah simbolik yang dizahirkan oleh Kerajaan Kedah untuk bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan yang bukan hanya diadakan di peringkat negeri, malah akan diperluaskan ke seluruh daerah.
"Kerajaan Kedah yakin segenap lapisan masyarakat akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ini dengan semangat nasionalisme dan jiwa patriotik yang berkobar-kobar kerana sememangnya begitulah sentimen kita yang begitu sayangkan negara Malaysia, tanah air kita semua," katanya.
Menurutnya, penglibatan semua pihak dalam kalangan pelajar sekolah, syarikat dan orang perseorangan sentiasa menyemarakkan sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan cara dan kreativiti masing-masing yang berterusan sehingga 31 Ogos ini.
"Menginjak usia 62 tahun ini, Malaysia telah berjaya membawa pelbagai perubahan dan pembangunan yang meletakkan negara setanding dengan negara-negara membangun yang lain.
"Segala kejayaan yang dinikmati bukan saja dari segi fizikal tetapi juga dari segi peningkatan kualiti modal insan yang lahir hasil dari perubahan pembangunan ini.
"Sudah ramai tenaga pakar dan profesional kelahiran negara ini yang mendapat pengiktirafan di peringkat global atas kepakaran dan kebolehan yang mereka miliki. Inilah hasil dan nikmat dari kemerdekaan yang telah dicapai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!