OKU gigih bantu rakan senasib
MACHANG - Melihat ramai rakan-rakan senasib yang hidup terumbang-ambing tanpa hala tuju mendorong seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) tanpa sebelah kaki tampil membantu mereka.
Biarpun banyak kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan tersebut, namun mereka tidak mendapat pendedahan malah seluruh hidup mereka hanya dihabiskan di rumah dengan bergantung kepada keluarga sepenuhnya.
Bangkit untuk membela rakan-rakan senasib, Mohd Kufri Omar, 40, berkata, pada peringkat permulaan dia membantu rakan-rakan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendapatkan kad OKU.
Menurutnya, dia bermula pada tahun 2010 dengan membantu OKU terutamanya rakan-rakan terdekat agar keluar daripada kepompong dan belajar hidup berdikari.
"Ketika itu masih ramai yang tidak tahu tentang kemudahan yang disediakan kerajaan termasuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang dan membina kehidupan sendiri.
"Saya sendiri mendaftar dan mendapat kad OKU pada usia 15 tahun. Berbeza dengan hari ini yang mana kanak-kanak OKU mendapat kad lebih awal dengan bantuan ibu bapa masing-masing.
"Masyarakat hari ini jauh lebih terbuka berbanding masyarakat dahulu dalam pelbagai sudut, maklumlah ketika itu ibu bapa kita juga tidak mendapat pendedahan mengenai OKU," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan tongkat mewakili Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) kepada rakan OKU, Abdul Razak Mat Taib, 53, di sini semalam.
Tambah Mohd Kufri, selepas dua tahun bergerak secara sendirian dia mula menyertai Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani) dua tahun kemudian bagi membantu rakan-rakan senasib di seluruh negeri.
Katanya, sekalipun dia sendiri tidak mampu berjalan dengan sempurna dan bergantung kepada tongkat namun itu tidak pernah menghalangnya untuk membantu mereka yang memerlukan.
Mohd Kufri berkata, melalui gerak kerja bersama Insani, dia mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi golongan OKU dan berusaha menjadi pemudah cara antara OKU dan kerajaan.
"Usaha yang sama diperluaskan melalui gerak kerja sebagai penyelaras Parlimen di bawah MPPOK.
"Bagi golongan OKU, saya harap mereka tidak mudah berputus asa sebaliknya terus gigih berusaha dan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membina kehidupan sendiri.
"Ramai OKU telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dan ia perlu direbut oleh semua OKU mengikut kebolehan dan kemampuan masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!