KPKT pertimbang wujud penempatan semula untuk pelarian UNCHR

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (tengah) disambut oleh Presiden Medical Relief Society Malaysia (MERCY Malaysia) Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus (kanan) ketika hadir di ‘MERCY Malaysia International Humanitarian Conference (MMIHC 2019)’ di Universiti Sunway. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (tengah) disambut oleh Presiden Medical Relief Society Malaysia (MERCY Malaysia) Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus (kanan) ketika hadir di ‘MERCY Malaysia International Humanitarian Conference (MMIHC 2019)’ di Universiti Sunway. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji idea mewujudkan perkampungan penempatan semula untuk mengumpulkan semula pelarian yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang bertaburan di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bukan sahaja memudahkan pemantauan pelarian sedia ada terutama Rohingya tetapi pada masa sama membolehkan komuniti berkenaan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Sekiranya kita boleh menubuhkan satu kawasan yang ditetapkan atau perkampungan dengan kemudahan seperti sekolah dan untuk memberi mereka orientasi kepada gaya dan budaya Malaysia supaya mereka dapat ‘bercampur’, kita sebenarnya boleh membantu mereka.

“Dengan cara ini, kita juga boleh menggunakan tenaga kerja mereka dalam beberapa sektor berbanding hanya bergantung kepada pekerja asing. Kita boleh meminimumkan kemasukan pekerja asing dengan memanfaatkan komuniti pelarian,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menjadi seorang daripada penceramah program syarahan bertajuk ‘Mainstreaming Disaster Resilience Attributes at the Local Government Level’ sempena Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2019 anjuran Mercy Malaysia selama tiga hari yang berakhir semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, idea itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet namun pihaknya percaya sudah tiba masanya untuk memperkasakan dan melatih masyarakat tempatan dalam pengurusan bencana.

"Pemerkasaaan ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kesediaan mereka dalam menghadapi kejadian tidak diingini seperti banjir dan tanah runtuh.

“Sebaik sahaja mereka diberi kuasa, mereka akan tahu apa yang perlu dilakukan sebagai responden pertama apabila bencana berlaku dan apa tindakan segera yang harus dilakukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!