Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan hingga 24 Ogos

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan sehingga 24 Ogos ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perintah berkurung juga untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan berada di kawasan daratan ESSZone.

Omar berkata perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!