Pencuri kabel maut kena renjatan elektrik

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel berhampiran kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Teruntum 1 dekat Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kira-kira jam 9 malam pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menyatakan ada melihat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di lokasi berkenaan.

"Pihak polis segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan terlungkup di dalam lubang di tepi kotak penyambung TNB dipercayai telah meninggal dunia.

"Dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan TNB Johor Bahru, mangsa telah berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian pada jam 12.45 pagi selepas bekalan elektrik diberhentikan sementara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati pihaknya percaya mangsa yang beralamat di Taman Mawar di sini, terkena renjatan elektrik semasa cuba mencuri kabel dengan memotong kabel di tempat kejadian.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!