Dua penagih sempat melaram lima jam motosikal curi
SABAK BERNAM - Dua penagih dadah yang melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 di belakang sebuah bangunan di Pekan Sungai Besar hanya sempat 'melaram' motosikal itu lima jam sebelum dicekup polis semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua suspek ditahan di sebuah bengkel motosikal di Pekan Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pihaknya berjaya mengesan kedua-dua suspek berstatus duda itu hasil daripada risikan dan maklumat awam.
"Sepasukan polis diketuai Inspektor Mohd Saiful Zahir bersama anggotanya berjaya memberkas kedua-dua suspek yang sedang berurusan di bengkel terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.
Nor Azmi berkata, suspek pertama berusia 31 tahun yang beralamat di Pekan Sabak Bernam mempunyai sembilan rekod lampau.
"Suspek terbabit sebelum ini pernah ditahan kerana tiga kes jenayah dan enam kesalahan narkotik.
"Rakan suspek berusia 34 tahun menetap di Tanjong Karang pula memiliki lima kes membabitkan satu rekod jenayah dan empat narkotik," katanya.
Beliau berkata, hasil serbuan itu polis berjaya merampas motosikal curi terbabit, serangkai anak kunci, sehelai baju dan seluar.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
"Sehingga kini mereka masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 11.05 tengahari seorang mangsa meletakkan motosikal abangnya di belakang pejabat sebuah premis bagaimanapun motosikal itu tiba-tiba hilang setengah jam kemudian.
Pengadu kemudiannya mengesyaki motosikalnya dicuri selepas melihat kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai perkakas berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!