Jauhi tindakan yang boleh politikkan ibadah Haji
MAKKAH - Presiden Presidensi Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci Sheikh Abdul Rahman Al Sudais menyifatkan Haji sebagai satu "mesej kedamaian" dan meminta para tetamu ALLAH menjauhi sebarang perlakuan yang boleh mempolitikkan ibadah itu.
"Anda sepatutnya menunaikan ibadah haji dalam suasana aman, mudah dan selesa jauh daripada slogan-slogan politik serta perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai suci Islam.
“Islam menentang segala bentuk ekstremisme, keganasan dan kemusnahan,” katanya ketika bertemu delegasi media yang terdiri daripada wartawan kanan tersohor Arab Saudi dan negara Islam lain yang berkunjung ke negara itu atas jemputan Menteri Media Arab Saudi.
Sheikh Abdul Rahman meminta jemaah haji meluangkan masa mereka untuk saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan serta kesejahteraan semua.
Menurut beliau, ibadah Haji bukanlah satu platform untuk politik dan sektarianisme, sebaliknya demi perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Beliau berkata Arab Saudi kini mempromosi kesederhanaan dan kewujudan bersama secara aman kerana Islam menolak semua bentuk keganasan dan media di negara-negara Islam mempunyai peranan penting dalam hal ini.
“Arab Saudi kini menganjurkan kesederhanaan Islam dan kewujudan bersama secara aman serta menolak semua bentuk keganasan. Kita semua telah berusaha keras untuk mempertahan Islam melalui segala cara yang termampu dan tidak akan sesekali membiarkan para pengganas terbabit merampas Islam,” katanya.
Merujuk media Islam, Sheikh Abdul Rahman berkata wartawan di negara-negara Islam mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mempertahan Islam yang sebenar, yang menolak sepenuhnya keganasan dan menyeru ke arah keamanan serta sikap toleransi.
Beliau berkata “Kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci akan sentiasa melayani para jemaah haji dan mereka yang menunaikan ibadah Umrah kerana kami menganggap ia adalah tugas kami untuk melayani tetamu Allah dengan mengharapkan balasan hanya daripada Allah.”
Arab Saudi, katanya, mempunyai hak kedaulatan untuk mentadbir Dua Masjid Suci dan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, sebagai Penjaga Dua Masjid Suci, sentiasa memberikan arahan yang jelas untuk melayani para tetamu Allah sepanjang masa untuk mencari keredaan-Nya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!