Syabu RM1 juta rampasan terbesar di Kelantan
PASIR MAS - Dadah jenis syabu bernilai RM927,00 berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang jam 11 malam semalam.
Rampasan syabu seberat 18.54 kilogram (kg) itu merupakan rampasan terbesar setakat ini di Kelantan yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, susulan penemuan itu seorang lelaki berusia 58 tahun bersama isteri, 53, serta tiga anak perempuannya telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Selain itu dua wanita warga Thailand berusia 28 dan 20 tahun yang merupakan saudara kepada keluarga tersebut turut ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kesemua suspek itu direman seminggu bermula hari ini hingga 13 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita sebelum Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas.
Menurutnya, kesemua dadah itu ditemukan di dalam kawasan semak yang terletak kira-kira 30 meter daripada rumah keluarga tersebut.
Abdullah berkata, sebelum itu anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah tersebut namun bahan terlarang itu tidak ditemui.
Katanya, selepas itu anggota PGA melakukan pemeriksaan di luar kawasan rumah dan menemui guni yang berisi 17 bungkus plastik disyaki syabu.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku tidak mengetahui dadah itu kepunyaan siapa.
“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing mendapati mereka negatif,” katanya.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan berasingan di sekitar Kampung Jal Kechik, Bunut Susu.
Katanya, serbuan pertama polis merampas 180 biji pil kuda, 51 gram syabu dan 24 gram heroin selepas berjaya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun serta wanita, 36, ketika menahan sebuah kereta jenis Proton Waja pada jam 3.30 petang semalam.
“Nilai rampasan dadah itu membabitkan nilai RM22,350.
"Serbuan kedua pula di kawasan yang sama, kita tahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas 8 gram heroin, 11 gram syabu dan 160 biji pil kuda berjumlah RM7,170,” katanya.
Pada majlis serah terima tugas itu Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ismail Jusoh akan memangku tugas sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas buat sementara waktu.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!