Korban dekatkan diri dengan ALLAH SWT
PADA hari Ahad ini, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Ia merupakan antara perayaan utama dalam Islam.
Aidiladha sememangnya sinonim dengan kisah pengorbanan. Paling melekat di ingatan ramai orang ialah kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan ALLAH SWT untuk menyembelih anak yang amat disayanginya, Nabi Ismail AS. Mereka reda dan menerima perintah itu seikhlasnya semata-mata kerana ALLAH SWT.
Namun, ternyata perancangan ALLAH SWT ialah yang sebaik-baiknya. Ketika melaksanakan perintah itu, ALLAH menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas yang sihat. Itu semua kuasa Sang Pencipta. Kedua-dua nabi ALLAH itu bersyukur atas rahmat-Nya. Semua itu ada diceritakan dalam al-Quran menerusi Surah al-Saffat, ayat 102 hingga 107.
Sesungguhnya, kisah berkenaan memberi ibrah yang sangat besar buat seluruh umat manusia. Betapa hidup di muka bumi ini menuntut pengorbanan, tidak kiralah dari sudut mana aspek kehidupan itu.
Bukan sahaja harta yang perlu dikorbankan, malah menuntut ilmu juga mengkehendakkan kita berbuat demikian. Begitu juga ketika bekerja untuk kita mencari nafkah buat ahli keluarga.
Benar, pengorbanan begitu penting kerana hidup kita akan sentiasa diuji mengikut kemampuan masing-masing. Jika sifar ujian, seperti ada yang tidak kena.
Sedangkan ALLAH SWT menjadikan siang dan malam bertukar. Dia juga mengatur cantik pertukaran matahari dan bulan pada waktu siang dan malam. Ia sama juga seperti cabaran dan pengorbanan. Kedua-dua itu ialah 'sahabat baik' kepada kehidupan yang fana ini.
Lambang pengorbanan
Menyoroti kisah pengorbanan, pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid kembali mengingatkan tentang tiga nama yang sangat sifinifikan dalam historiografi Islam iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS dan isteri Nabi Ibrahim, Sarah.
"Bayangkan baginda yang sekian lama menunggu mendapat zuriat dan baru dikurniakan anak pada usia 89 tahun, diperintahkan ALLAH untuk menyembelih anaknya sendiri.
"Namun ketiga-tiga insan itu tetap menerima perintah ALLAH SWT. Itu ialah satu pengorbanan dan keikhlasan dalam menunaikan perintah ALLAH. Pada hari berkenaan, ALLAH menukarkan Nabi Ismail dengan seekor kibas," ujar beliau ketika diwawancara Sinar Islam baru-baru ini.
Jelas agamawan itu, pengorbanan pertama sebenarnya berlaku pada zaman Nabi Adam AS yang melibatkan anak baginda, Qabil dan Habil. Ketika berlaku pertikaian perkahwinan dengan pasangan kembar masing-masing, ALLAH memerintahkan supaya mereka mempersembahkan korban untuk mengetahui siapakah yang layak mengahwini adik Qabil.
Kedua-dua beradik itu kemudian meletakkan korban masing-masing. Habil, seorang pengembala kambing memberikan korban terbaik iaitu kambing paling elok dan gemuk. Malangnya, Qabil pula memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki. Lalu ALLAH menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima-Nya.
Ustaz Wan Akashah berkata, dua kisah itu merupakan lambang pengorbanan seorang hamba kepada ALLAH SWT.
"Itulah (lambang pengorbanan) yang perlu dilakukan oleh manusia. Pengorbanan harta seperti korbankan kambing, lembu, unta dan sebagainya ialah pengorbanan yang cukup besar.
"Justeru, ibadah haji dan korban sebenarnya melatih diri kita untuk berkorban dalam hidup," katanya.
Takwa
Ustaz Wan Akashah melanjutkan naratif pengkisahannya tentang pengorbanan. Ujar beliau, meskipun haiwan yang dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha, apa yang 'sampai' kepada ALLAH SWT bukanlah daging itu, tetapi keikhlasan dan ketakwaan kita apabila melakukannya kerana Dia semata-mata.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: "Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu..." (Surah al-Hajj, ayat 37)
"Pengorbanan itu bukan nampak pada daging lembu atau kambing sahaja, tetapi pengorbanan yang lebih besar dalam hidup kita sebagai hamba ALLAH iaitu sebagai suami, isteri, anak, abang dan sebagainya. Siapa pun kita, kita tetap perlu melakukan pengorbanan yang lebih luas lagi dalam hidup," katanya.
Menurut agamawan itu, kehidupan manusia penuh berselirat, jalannya penuh dengan liku dan bersarang dengan masalah serta ujian yang pastinya menuntut pengorbanan.
"Contohnya, bila hendak belajar, kita terpaksa tinggalkan mak dan ayah untuk ke luar negeri dan sebagainya. Itu dinamakan pengorbanan mencari ilmu.
"Begitu juga suami yang keluar bekerja untuk nafkah isteri dan anak-anak serta pengorbanan isteri taat kepada suami, jaga makan dan minum anak-anak serta mendidik mereka. Semua itu dinamakan pengorbanan," ujar beliau.
Kepada satu soalan, Ustaz Wan Akashah berkata: "Menurut Islam, Hari Raya Aidiladha sebenarnya lebih besar daripada Hari Raya Aidilfitri. Sebab itu takbir Hari Raya Aidiladha lebih lama iaitu masuk waktu Subuh 9 Zulhijah sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijah.
"Istimewanya Aidiladha kerana kita melakukan korban dengan mengorbankan haiwan dan agihkan daging korban untuk fakir miskin. Selain itu, kita hendak meraikan orang yang menunaikan ibadah haji di Makkah."
Tanda syukur
Sementara itu, pendakwah Ustaz Hadi Talhah menjelaskan, pengorbanan boleh dilihat dalam banyak cabang dan aspek kehidupan kita. Semuanya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk agama Islam yang suci.
"Dalam kita melakukan ketaatan kepada ALLAH, ada pengorbanan dari sudut fizikal, masa, wang ringgit, harta benda dan sebagainya.
"Seperti pengorbanan pada musim haji, hendak pergi menunaikan Rukun Islam ke-5 itu kena berkorban masa, wang ringgit dan korban dengan meninggalkan keluarga. Begitu juga untuk menegakkan agama ALLAH. Semua pengorbanan itu untuk Islam yang tidak sia-sia. Ia akan diberikan ganjaran pahala oleh ALLAH SWT," ujar beliau.
Bukan itu sahaja, apabila kita meninggalkan perkara dilarang oleh ALLAH SWT yang kadangkala memberikan keseronokan kepada diri, jelas Ustaz Hadi, itu juga merupakan satu bentuk pengorbanan.
"Ya, kita kena turutkan walaupun mungkin nafsu kita tidak suka. Contohnya, bangun solat Subuh. Kita korbankan masa tidur yang nyenyak untuk bangun menunaikan solat Subuh atau melakukan qiamullail. Ia menuntut pengorbanan.
"Namun, pengorbanan kita itu tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW yang mengorbankan segala-galanya termasuk masa dan 'menelan' cemuhan kaum Musyrikin dalam menyampaikan dakwah Islam," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap segelintir masyarakat yang berkira-kira untuk melakukan ibadah korban.
Walaupun hukumnya ialah sunat muakkad kepada setiap Muslim dan Muslimah mukalaf yang berkemampuan, tetapi ia dituntut dalam Islam. Bahkan, kata Ustaz Hadi, Mazhab Hanafi menyatakan ia wajib dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan.
"Kalau orang tidak sanggup berkorban dan tidak boleh menyembelih (haiwan) untuk korban, dia ibarat jauh daripada ALLAH SWT. Sedangkan korban itu sendiri untuk mendekatkan diri kita dengan ALLAH SWT.
"Dengan sedikit apa yang ALLAH SWT rezekikan kepada kita, apalah salahnya jika kita melakukan korban sebagai tanda syukur kepada ALLAH atas pemberian-Nya selama ini. Jika tidak mampu, boleh laksanakan ibadah itu dengan satu bahagian korban," katanya.
Ujar beliau, cinta kasih ALLAH dan rasul perlu ada dalam diri seorang manusia.
"Apabila kita ada dua perkara itu, kita akan buat walaupun sesukar mana pun," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!