Pakistan umum usir Pesuruhjaya Tinggi India
ISLAMABAD - Pakistan semalam mengumumkan ia mengusir Pesuruhjaya Tinggi India dan menggantung perdagangan kedua-dua negara beberapa hari selepas New Delhi menarik balik autonomi khas wilayah Kashmir.
India menarik balik status separuh autonomi selama tujuh dekad yang diberikan kepada wilayah di pergunungan Himalaya itu menerusi dekri Presiden.
Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas pihak berkuasa Kashmir ditadbir India melaksanakan perintah berkurung.
“Kami akan memanggil pulang duta kami dari New Delhi dan menghantar pulang duta mereka,” kata Menteri Luar Shah Mehmood Qureshi dalam pengumuman itu.
Qureshi juga berjanji bahawa Islamabad akan membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Keputusan kerajaan India pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi pada Isnin untuk mengetatkan kawalan di wilayah majoriti Muslim, Kashmir telah mencetuskan konflik dengan Pakistan.
Ia juga mencetuskan semula kebangkitan yang sudah pun menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
New Delhi bertegas mengatakan langkah itu urusan dalaman negaranya.
Kashmir terpecah antara Pakistan dan India sejak tamatnya pemerintahan koloni British pada 1947.
Kedua-dua negara kuasa nuklear itu berjuang mendapatkan kawalan penuh wilayah itu dan dua kali berperang. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Kashmir: PM Pakistan bantah keputusan India
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!