Bomba terima panggilan tumpahan kimia di Hospital Banting
BANTING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tiada kejadian tumpahan dan kebocoran bahan kimia di Klinik Pakar Hospital Banting hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat beberapa orang awam yang berada di kawasan klinik itu mengalami batuk dan iritasi mata.
Menurutnya, panggilan tersebut diterima daripada pegawai Hospital Banting pada jam 11.33 pagi.
“Dua jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Banting serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.
‘Hasil pemeriksaan di sekitar lokasi menggunakan Gas Dectector dan Sampling Pump mendapati tiada berlaku sebarang tumpahan dan kebocoran bahan kimia.
“Kandungan udara dalam keadaan normal dan tiada mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!