Tempat pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian diroboh

Aidi Ismail
Aidi Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis merobohkan semua tempat didakwa penganjuran pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian, Besut, yang videonya ditularkan sebelum ini Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, meskipun video yang ditularkan itu disahkan adalah video 2017, namun pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, polis turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 dan 24 tahun untuk membantu siasatan selain merampas semua peralatan disyaki digunakan di dalam pesta berkenaan.

"Dalam masa sama, pemilik laman sosial yang bertanggungjawab menyebarkan video itu akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk memberi keterangan.

"Siasatan mendapati pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu) memang wujud dan pemilik sebenarnya seorang wanita berusia 30-an dikenali sebagai Ana Simon.

"Bagaimanapun siasatan lanjut bagi kes ini adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepenuhnya dan kita hanya memberi kerjasama bagi memudahkan siasatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua video masing-masing berdurasi 30 saat dan sembilan saat yang tular di laman sosial memaparkan sekumpulan individu berpakaian separuh bogel dilihat sedang menari di sebuah chalet di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun polis menafikan video berkenaan adalah kejadian baharu dan mengesahkan ianya video lama pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Polis turut mengesan seorang wanita dikenali Ana Simon berusia lingkungan 30-an dipercayai individu bertanggungjawab menyebarkan video tersebut disebabkan rasa tidak puas hati permohonannya untuk membuka pusat urut terbuka di pulau itu tidak diluluskan Majlis Daerah Besut (MDB) dan mendapat tentangan penduduk tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!