Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah dinaik taraf
TEMERLOH - Teka-teki projek naik taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh terjawab selepas menimbulkan pertanyaan pengguna dan warga Temerloh selama ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir mengumumkan tender projek itu telah diluluskan selepas ditangguhkan sebelum ini.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan secara tender terbuka dan dibuka pada penghujung September depan.
"Saya secara rasminya ingin memaklumkan projek menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah dari dua lorong ke empat lorong. Ramai bertanya jadi ke tak jadi dan hari ini saya umumkan keprihatinan kerajaan terhadap Temerloh dengan kelulusan projek naik taraf jambatan ini.
"Kerja pembinaan fizikal projek dijangka bermula Mac 2020 dan akan mengambil masa tempoh selama 42 bulan untuk disiapkan sepenuhnya pada September 2023.
"Saya percaya projek ini apabila ia siap bukan akan sahaja menjadi mercu baharu Temerloh tetapi akan menyelesaikan banyak masalah kesesakan di waktu puncak, musim perayaan sekali gus mampu mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan, kecemasan di jambatan sedia ada," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas majlis pelancaran program Merdeka@Komuniti peringkat Temerloh serta sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan dan Pengetua SMK Paya Pulai, Faridah Siwang.
Tambahnya, kos pembinaan jambatan tersebut bernilai RM146 juta dengan jarak sejauh 575 meter dan 15 meter (lebar) akan dibina bersebelahan di Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah.
"Reka bentuk jambatan ini mendapat khidmat dalaman Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan menjimatkan kos kira-kira lima peratus," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Jambatan Sultan Haji Ahmad dibina pada 1972 dan siap pada 1974 yang memiliki jarak sejauh 575 meter kini dilihat tidak dapat memenuhi keperluan trafik buat pengguna yang berdepan kesesakan ketara pada waktu puncak dan musim perayaan.
Sementara itu, Mohd Anuar memberitahu, satu jambatan baharu dibina di laluan di FT098/030/00 dekat Kuala Krau sudah mencapai tahap 85 peratus pembinaan selepas dibina pada 10 Januari 2018.
Menurutnya, jambatan baharu terbabit yang menelan belanja RM14.93 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 29 Disember tahun ini.
"Pembinaan jambatan baharu ini sejauh 110 meter akan melancarkan aliran trafik di mana ia adalah laluan utama Jerantut ke Temerloh dan ke Lebuhraya Pantai Timur(LPT) 1 yang mempunyai isipadu trafik tinggi.
"Jambatan sedia ada yang dibina pada 1960, sempit dan tidak lagi sesuai untuk menampung kapasiti trafik yang kian bertambah dan sering berlaku kemalangan.
"Pembinaan jambatan baharu ini akan dapat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna selain meningkatkan sosio ekonomi sekitar Temerloh dan Jerantut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!