Desak Teresa tarik balik keputusan

Muhammad Sanusi (kiri) bersama ADUN Pas sebelum sesi persidangan bermula.
Muhammad Sanusi (kiri) bersama ADUN Pas sebelum sesi persidangan bermula.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mendesak Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim menarik balik keputusan menghentikan skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil getah.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepatutnya Teresa mencari jalan keluar kepada krisis harga getah yang merudum ketika ini, bukannya menghentikan bantuan kepada golongan sasar.

Menurutnya, perbuatan itu menunjukkan kegagalan seorang menteri Pakatan Harapan (PH) dalam menangani permasalahan rakyat, dan beliau wajar memohon maaf atas kegagalan itu.

“Pengumuman hentikan skim bantuan tanaman semula pekebun kecil itu mengejutkan dan amat dikesali. Ia umpama malapetaka besar kepada 355,000 pekebun kecil getah di negara ini,” katanya, ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Ketua Pembangkang DUN Kedah itu berkata, ia menyerlahkan kejahilan menteri terbabit dalam menguruskan hal ehwal pekebun kecil dan penoreh.

“Di saat komoditi getah sedang tenat dari aspek harga, bayaran tanaman semula yang menjadi hak pekebun berdasarkan peraturan sah, dinafikan pula. Bantuan tanaman semula yang dipraktikkan puluhan tahun itu adalah bersumberkan cukai SES yang dikutip daripada hasil jualan (eksport) getah pekebun,” katanya.

Menurutnya, sejak tahun 1952, bagi membiayai dan melaksanakan Rancangan Tanam Semula kebun getah pekebun kecil, kerajaan meluluskan Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952 yang memperuntukkan kutipan cukai SES, 14 sen bagi setiap kilogram getah yang dieksport.

“Daripada kutipan SES ini, 10 sen dikumpulkan untuk dipulangkan sebagai bantuan tanaman semula sementara empat sen lagi diperuntukkan untuk penyelidikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, bawah skim tanam semula bagi sektor ladang (keluasan melebihi 100 ekar/40.5 hektar) terdapat peruntukan bawah seksyen 10, Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula - 1952 setelah dipinda oleh Akta RISDA 1972), dinamakan Rancangan Perusahaan Getah (Penanaman Semula) Bagi Estet 1974, memperuntukan supaya wang SES yang dipungut dikembalikan terus kepada pemilik ladang (melebihi 40.5 hektar) dalam wang tunai mengikut bukti pengeluaran setiap suku tahun.

“Langkah ini dibuat agar mereka dapat menguruskan sendiri pembiayaan tanaman semula ladang mereka kelak. Namun akibat PH menyerahkan urusan terbabit kepada orang yang bukan pakar, maka langkah sumbang seperti ini berlaku sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurutnya, alasan bahawa keputusan itu dibuat bagi mewujudkan keadilan kepada pekebun yang menyertai skim bawah Felda dan Felcra, adalah sangat dangkal.

“Kumpulan itu tertakluk bawah seksyen 10, Akta RISDA 1972 berkaitan pemulangan SES dan pelaksanaan tanaman semula ladang mereka. Jika alasan Teresa dengan melaksanakan semua pihak tidak dapat bantuan adalah adil, maka langkah memberi bantuan kepada semua pihak adalah lebih adil dan perlu diutamakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!