Presiden Indonesia tiba untuk lawatan rasmi dua hari
SEPANG - Presiden Indonesia, Joko Widodo, tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari di Malaysia.
Pesawat khas dari Bali yang membawa Presiden Indonesia yang dikenali ramai dengan nama Jokowi, bersama dengan isterinya Iriana Joko Widodo, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 malam.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyambut ketibaan Jokowi di Kompleks Bunga Raya, dan turut hadir di Kompleks itu ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana.
Jokowi dan isteri kelihatan segak dengan pakaian tradisional Bali berwarna merah manggis.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Jokowi selepas dilantik semula bagi penggal kedua pada Pilihanraya Presiden 17 April lepas.
Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
Acara sambutan rasmi akan berlangsung pagi esok di Dataran Perdana, disusuli dengan mesyuarat antara Jokowi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu-isu serta kerjasama dua hala, di samping saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!