Bimbang media asing ada agenda tersembunyi

Meor Razak menunjukkan surat aduan rasmi berhubung tindakan wartawan asing masuk ke kawasan hutan simpan di Gerik tanpa permit baru-baru ini.
Meor Razak menunjukkan surat aduan rasmi berhubung tindakan wartawan asing masuk ke kawasan hutan simpan di Gerik tanpa permit baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan agensi kerajaan lain diminta lebih tegas dalam memastikan kawasan hutan simpan tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Aktivis alam sekitar, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihaknya membidas kehadiran seorang wartawan dari agensi berita asing, Alexander Radu yang ditahan sewaktu membuat liputan kerja-kerja merobohkan halangan pembalakan berhampiran Kampung Sungai Papan di Gerik pada 1 Ogos lalu.

Menurutnya, kehadiran wanita yang mendakwa sebagai wartawan dari media The Diplomat itu dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi yang mampu mengancam keselamatan negara.

"Sebagai seorang aktivis alam sekitar, saya menghargai kebebasan media untuk bersuara isu rakyat tempatan, namun fungsi mereka perlu selari dengan etika kewartawanan iaitu seperti memasuki kawasan liputan mengikut nas undang-undang ditetapkan negara.

"Dalam isu membabitkan kehadiran wartawan asing dari Romania di Gerik, individu itu mengaku masuk ke dalam kawasan hutan simpan di Gerik tanpa permit. Persoalan saya, bagaimana dia boleh sampai ke kawasan itu secara bersendirian?

"Saya berharap kehadiran individu asing sebegini ke kawasan hutan simpan dipantau secara serius kerana bimbang kehadiran mereka hanya untuk memburukkan imej negara di mata dunia," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Meor Razak berkata, susulan penahanan wartawan asing berkenaan, satu aduan rasmi bertulis dikemukakan pihaknya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada 5 Ogos lalu dengan salinan aduan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan polis untuk tindakan susulan.

Menurutnya, aduan bertulis itu dibuat setelah menerima nasihat Jabatan Perhutanan Negeri Perak susulan pihaknya difahamkan kehadiran wartawan asing berkenaan ke negara ini bukan atas visa kerja, namun melalui visa melancong.

Artikel Berkaitan:

"Adakah kehadiran pihak luar seperti wartawan asing tersebut benar-benar ikhlas hendak membantu penduduk orang asli di kawasan Hutan Simpan Air Chepam, Gerik atau sekadar hendak memainkan sentimen seolah-olah kerajaan negeri kejam terhadap orang asli?

"Kebajikan orang asli di negara ini wajib dipertahankan, namun biar berlandaskan asas yang betul. Dalam isu pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Chepam, saya dapati hanya kaedah pembalakan tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan, bukan kerja pembalakan di situ adalah haram sebagaimana didakwa wartawan asing berkenaan," katanya.

Meor Razak berkata, pihaknya bukan mahu menyebelahi kerajaan negeri atau syarikat pembalakan berkaitan, namun hanya untuk menegakkan kebenaran.

"Beberapa NGO seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) sememangnya tidak bersetuju dengan inisiatif pembalakan menerusi pengenalan ladang hutan dikemukakan kerajaan negeri Perak dan perkara itu sudah disampaikan kepada Menteri Besar sebelum ini.

"Namun isu pembalakan di beberapa kampung orang asli di Gerik tidak sama dengan isu pembalakan di Kelantan dan sehingga kini tiada satu bukti pencemaran atau kerosakan berlaku membabitkan sungai dan penempatan orang asli di kawasan itu," katanya.

Mengenai tuntutan tanah adat dikemukakan orang asli di beberapa kampung di Gerik, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak yang lebih pakar dalam menentukan hak orang asli.

"Namun biarlah isu kebajikan orang asli diperjuangkan berasaskan fakta yang betul dan tidak dimanipulasikan hanya untuk memenuhi kepentingan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!