Warkah paling ringkas
HARI ini entah mengapa dunia media sosial asyik memperkatakan tentang warkah dan surat. Pedulikan apa yang menjadi viral itu. Saya ingin mengambil ruang membicarakan tentang warkah paling ringkas yang pernah ditulis.
Sebenarnya, saya juga beberapa hari lepas ada menulis surat terbuka kepada YAB PM dan YB Menteri Pendidikan. Walaupun ia mendapat liputan media dan perkongsian yang agak tinggi di dunia maya, namun tidak sehangat perbincangan warkah sehari dua ini.
Dahulu, saya pernah menulis Surat Terbuka Buat Ketua Polis Negara. Surat itu juga agak panas diperbincangkan. Warkah saya biasanya memakan dua atau tiga lebaran muka kertas.
Sejak di sekolah saya memang minat sastera. Pernah memenangi pertandingan menulis sajak. Di Jordan saya belajar Sastera Arab dan Syariah.
Sehingga hari ini saya masih lagi -kadang kala- menulis puisi dan ada puisi saya yang menjadi lirik lagu nyanyian AlGebra, Kopratasa, Aishah, Dakmie dan Mawi. Puisi terbaru saya tentang kematian Adib agak mendapat perhatian.
Saya selalu tersentuh dan tertarik dengan ungkapan-ungkapan yang indah. Filem-filem yang mempunyai bahasa yang puitis dan ungkapan yang menarik sering mempengaruhi deria saya. Barangkali sebab itu saya suka mendengar dialog-dialog dalam filem dan lagu yang puitis.
Contohnya filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. Ini terutamanya dialog Zainuddin dan Hayati. Bijak Buya Hamka menyusun ayat romantis bercampur cinta yang kecewa.
Lagu-lagu yang berlirik kesufian juga amat meruntun jiwa jika kena pada alunan dan makna. Lirik-lirik P. Ramlee banyak yang puitis. Demikian lirik-lirik lagu Barat seperti Katie Melua juga indah. Penulis-penulis ini mempunyai jiwa seni.
Kepuitisan bahasa mempunyai pengaruh yang tersendiri. Al-Quran mempunyai bahasa yang MAHA indah dan tepat bagi yang mengkaji dan memahami. Apa yang pasti, bahasa Al-Quran tepat pada keadaan dan sasaran.
Maka, permainan bahasa itu penting. Namun hendaklah tepat mengenai sasaran. Justeru itulah Arab panggil BALAGHAH kerana ia benar-benar sampai kepada sasaran maksud.
Ertinya tujuan keindahan bahasa supaya ia berkesan secara mendalam di jiwa yang menjadi sasaran ungkapan. Kadang-kala bahasa yang ringkas lebih berkesan dibandingkan yang panjang.
Mungkin juga bahasa yang agak tegas atau formal lebih berkesan dari yang berbunga-bunga. Kesemua itu bergantung kepada konteks, diri yang mengungkap dan pihak yang ditujukan ungkapan. Kata penyair Zaman Abbasiah yang terkenal Bashar bin Burd: لكل مقال مقام maksudnya "Bagi setiap ungkapan itu ada tempatnya".
Maka, elakkanlah bahasa yang salah tempatnya dan tempat yang salah bahasanya. Semak diri kita yang mengucapkan dan diri yang disasar ungkapan kepadanya. Kenali juga konteks semasa ungkapan itu diluahkan. Inilah yang kita semua wajar lakukan.
Sekadar sejarah yang saya baca, warkah yang paling ringkas ialah warkah Khalid bin al-Walid yang merupakan komander tentera Islam yang hebat kepada 'Iyadh bin Ghanam al-Fihri yang juga merupakan seorang panglima perang.
Seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, selepas Peperangan 'Ain al-Tamr, Khalid mengutuskan surat kepada 'Iyadh meminta bantuan tentera.
Hanya dua kalimah (dalam Bahasa Arab) sahaja tetapi kesannya bantuan sampai dengan pantas. Demikianlah bahasa para pejuang di medan perang yang penuh kesibukan dengan urusan dan tiada masa berpuitis dalam suasana itu. Beginilah bunyi surat beliau: (Khalid kepada 'Iyadh: Engkau aku mahu)
Demikianlah ringkasnya. Namun kesannya besar sebab kena pada tempat, masa dan sasaran.
***Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan Mufti Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!