Selangor bincang semula pindaan enakmen tukar agama anak
SHAH ALAM - Cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur akan dibawa semula ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika dilihat ada kepentingan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara tersebut masih dibincangkan di peringkat negeri.
"Ia memerlukan masa untuk menerangkan mengenai perkara ini, ia adalah sesuatu yang luas dan ia juga tidak difahami dengan sepenuhnya.
"Mandat diberikan kepada Speaker untuk memutuskan sama ada membenarkan pindaan yang dicadangkan dibentangkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis ramah mesra pimpinan PKR Selangor di sebuah hotel di sini malam tadi.
Menurutnya, perkara tersebut perlu diperbincangkan dan diperhalusi.
"Semua berbelah bahagi dengan pandangan itu, ada bijaksananya kita tangguh sebentar pada pandangan Speaker.
"Kalau ada kepentingan dan alasan tertentu, kita bawa sebab cuma negeri Selangor, Pulau Pinang dan Sabah tidak sekata dari segi tafsirannya," katanya.
Terdahulu, DAP Selangor menyatakan pihaknya tidak akan menyokong mana-mana rang undang-undang di Dewan Undangan Negeri Selangor yang bercadang untuk membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak oleh salah seorang daripada ibu bapa mereka.
Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata, sebarang percubaan untuk memperkenalkan undang-undang yang membenarkan penukaran keagamaan unilateral seperti itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!