Jom lakukan aktiviti asas penuhi hujung minggu!
LAZIMNYA, masuk sahaja hari Jumaat keterujaannya sedikit berbeza berbanding hari lain. Mana tidaknya, di beberapa buah negeri hari ini adalah menandakan hari terakhir bekerja dan akan menikmati 'off day’ selama dua hari.
Jika ditanya kepada golongan lelaki, apakah aktiviti wajib yang dilakukan pada hujung minggu? Percaya atau tidak, sebahagian besar individu lebih cenderung memilih untuk tidur dan menghabiskan masa di dalam rumah sambil menonton filem kegemaran.
Namun begitu, bersantai pada Sabtu dan Ahad bukan alasan untuk anda terus bermalasan sepanjang hari. Pelbagai aktiviti yang menyihatkan badan boleh dilakukan. Antaranya ialah:
1) Cuci kenderaan
Luangkan masa antara 20 hingga 30 minit untuk mencuci kenderaan yang terdedah pada kotoran dan debu di jalan raya.
Anda bukan sahaja berpuas hati dengan hasilnya nanti, malah secara tidak langsung dapat menjimatkan wang dan masa kerana tidak perlu ke pusat cuci kenderaan.
2) Bersih halaman rumah
Ambil kesempatan ini mengeluarkan peluh dengan mencabut rumput-rumput di laman rumah dan menyiram pokok bunga. Selain itu, bersihkan bahagian longkang dan bekas sampah bagi mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.
Aktiviti tersebut bukan sahaja mencantikkan halaman rumah, tetapi turut membantu memerangi wabak denggi dan menjaga kebersihan persekitaran kediaman anda.
3) Mengemas rumah
Daripada anda tidur sepanjang hari, adalah lebih baik memanfaatkan masa yang ada mengemas rumah dengan membersihkan ruang tamu, dapur, bilik air dan dapur.
Selain itu, jangan lupa untuk mengelap habuk yang melekat pada barangan perhiasan dan perabot. Pada masa sama, mengubah susun atur dekorasi bagi menyuntik suasana baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!