Suri rumah rugi RM4,200 ditipu Macau Scam
KUANTAN - Akibat terlalu bimbang mempunyai tunggakan dengan pihak bank, seorang suri rumah akhirnya berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM4,200 lesap ditipu Macau Scam, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berumur 26 tahun itu ditipu setelah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai tadbir mahkamah di Terengganu.
Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa yang tinggal di Felda Purun, Bera mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,580.88.
“Seperti biasa selepas mangsa menafikan tentang pinjaman itu suspek menyambung panggilan kepada seorang ‘pegawai polis’ berpangkat sarjan untuk memberikan keterangan sebelum dia digertak kononnya akaun pengadu mempunyai hutang tersebut dan berjanji untuk menolong mangsa menyiasat dengan Bank Negara.
"Mangsa mengikut arahan kerana ingin menyelesaikan masalah tersebut dan kemudian disambungkan pula dengan seorang anggota polis Bukit Aman, sebelum mangsa memberi kata laluan akaun bank miliknya," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata, akibat takut mangsa juga memberi nombor TAC perbankan online miliknya kepada pegawai polis tersebut.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dihubungi pegawai bank menyatakan ada transaksi berlaku pada akaun miliknya sebanyak RM4,200.00 ke akaun orang lain.
"Merasai dirinya ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) semalam untuk tindakan lanjut.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!