PM terima kunjungan hormat Presiden Indonesia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) mengiringi Presiden Indonesia Joko Widodo memeriksa barisan kehormat daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pada lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat dari Presiden Indonesia Joko Widodo di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Kunjungan hormat itu dibuat bersempena lawatan rasmi selama dua hari Joko ke Malaysia bermula semalam.

Turut mengiringi Joko atau yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi pada lawatan kali ini ialah isterinya, Iriana Joko Widodo.

Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin tersebut antara lain membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala dan kepentingan serantau.

Jokowi dalam Twitter berkata, perkara yang ingin dibincang bersama Dr Mahathir termasuk soal perlindungan warganegara Indonesia, kerjasama perbatasan dan diskriminasi produk kelapa sawit kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini adalah lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April lalu.

Indonesia ialah negara jiran paling dekat dan terpenting bagi Malaysia dan menjadi rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global serta ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!