Bayi ditemui depan pagar rumah dalam keadaan baik
KUANTAN - Bayi perempuan yang ditemui ditinggalkan di hadapan pagar sebuah rumah di Perumahan Pandan Damai, di sini awal pagi semalam kini diletakkan di bawah pengawasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu tetap akan dirawat di hospital itu sehingga benar-benar sihat.
"Pihak JKM sendiri melawat bayi itu di hospital untuk melihat perkembangannya. Kesihatan bayi berkenaan dalam keadaan baik selain tiada kecederaan di tubuhnya.
“Bagaimanapun bayi berkenaan akan terus diletakkan di bawah pemantauan hospital sehingga disahkan sihat dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.
Zulkhairi berkata, selepas dibenarkan keluar dari hospital kelak Pegawai Pelindung akan memohon perintah mahkamah bagi menempatkan sementara bayi berkenaan di institusi kebajikan selain akan turut menguruskan pendaftaran sijil kelahirannya.
"Bayi tersebut akan ditempatkan di institusi jabatan atau diletakkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) selepas dibenarkan keluar dari hospital," katanya.
Pada jam kira-kira 6.15 pagi semalam, bayi yang masih bertali pusat dibungkus dengan kain batik itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut yang ketika itu ingin mengambil beg sekolah anaknya di dalam kereta.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi perempuan ditinggalkan bersama nota
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!