Kenapa takut guna tulisan jawi?
KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pelik dengan tindakan sesetengah pihak yang dilihat takut untuk menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi dan khat.
Menurutnya, pembelajaran tulisan khat adalah salah satu seni yang terkenal di dunia sama seperti tulisan kaligrafi yang boleh dipelajari semua bangsa dan agama.
“Khat ini sebagai satu seni, kenapa takut dengan tulisan jawi. Saya kagum dengan tokoh-tokoh Cina sebelum ini yang suka tulisan jawi.
“Sepatutnya bahasa dan tulisan-tulisan ini dipelajari dan ia adalah warisan. Bagi saya kerajaan sepatutnya tetap dengan keputusan bagi memastikan pelajar mengambil seni khat,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet yang menetapkan pembelajaran tulisan khat di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, guru diberi kuasa untuk menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengenalan tulisan khat di SJKC, SJKT diteruskan
Selain itu, jemaah menteri juga bersetuju agar pengenalan tulisan khat itu tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.
Mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut, Tuan Ibrahim berkata, tindakan kerajaan yang dilihat tidak tegas dalam membuat keputusan juga boleh merosakkan kepercayaan rakyat.
Katanya, kredibiliti kerajaan semakin hilang apabila sering kali bertindak membuat pusingan U dalam setiap keputusan yang dibuat terutamanya di peringkat Kabinet.
“Sesuatu keputusan yang dibuat di peringkat Kabinet perlulah dibincangkan dengan yakin dan diputuskan tanpa sebarang gangguan.
“Apabila keputusan dibuat, maka kerajaan sepatutnya bertegas dengan keputusan tersebut kerana mungkin ia melibatkan beberapa perubahan polisi dan sebagainya.
“Akhirnya wibawa sebagai kerajaan diabaikan banyak pihak bila sering kali buat pusingan. Ini bukan kali pertama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!