Pengguna LPT2 dijangka meningkat 200 peratus sempena Aidiladha
KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka akan menerima pertambahan jumlah kenderaan sebanyak 200 peratus sempena cuti perayaan Hari Raya Aidiladha.
Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, jumlah itu dijangka meningkat pada 9, 10, 12, 16, 17 dan 18 Ogos, dengan peningkatan kepada 39,000 kenderaan berbanding 13,000 kenderaan pada hari-hari biasa.
Menurutnya, LPT2 telah membuat pelbagai persediaan dari pelbagai aspek bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa pada musim perayaan ini.
“Bagi melancarkan pergerakan kenderaan di plaza-plaza tol serta membantu pelanggan, pihak LPT2 akan menambah bilangan kakitangan sebanyak 4.2 peratus. Selain itu, bilangan pasukan LPT2Ronda akan ditambah sebanyak 33 peratus untuk mengadakan rondaan dan memberi bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.
“LPT2 juga turut mendapatkan kerjasama pihak Polis dan JPJ untuk mengadakan rondaan dan pemantauan di laluan terbabit di samping menggunakan bantuan anggota RELA untuk membantu pengurusan trafik di plaza tol terpilih,” katanya.
Sementara itu, bagi pemandu yang menghala ke Kota Bharu serta destinasi lain yang berdekatan turut diseru supaya menggunakan LPT2 memandangkan ia menyediakan laluan dua lorong setiap hala serta pelbagai kemudahan yang selesa seperti R&R, stesen minyak, surau, tandas awam, mesin tambah nilai kad Touch ‘n’ Go dan lain-lain lagi.
Ia turut merangkumi perkhidmatan bantuan kecemasan LPT2Ronda di samping kolaborasi syarikat ini bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, bomba dan lain-lain lagi.
Katanya, bagi merancang perjalanan, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi Twitter LPT2Trafik serta kira-kira 20 papan tanda elektronik di sepanjang laluan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!