Jokowi naiki Proton Persona dipandu Dr Mahathir

Dr Mahathir memandu sendiri Kereta Nasional Proton Persona membawa Presiden Indonesia Joko Widodo ke Seri Perdana untuk jamuan tengah hari pada lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir memandu sendiri Kereta Nasional Proton Persona membawa Presiden Indonesia Joko Widodo ke Seri Perdana untuk jamuan tengah hari pada lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini meraikan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isterinya, Iriana Joko Widodo dalam satu majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Dr Mahathir memandu sendiri kereta Proton Persona berwarna merah untuk membawa Joko Widodo ke majlis makan tengah hari itu dari pejabatnya di Perdana Putra ke Seri Perdana.

Antara menu pembuka selera yang dinikmati oleh kedua-dua pemimpin pada majlis tersebut ialah cucur udang, tauhu goreng, kerabu pucuk paku dan kerabu urap nangka.

Sementara hidangan utama ialah kambing bakar, sambal sotong petai, gulai lemak udang dan ayam percik bersama nasi telur Terengganu dan nasi kuning.

Pemanis mulut yang disajikan pada majlis itu ialah bubur som som dan bubur pulut hitam.

Minuman yang dihidangkan ialah teh tarik yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 Tun Dr Mahathir (kiri) menyambut ketibaan Joko Widodo di Seri Perdana untuk majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir (kiri) menyambut ketibaan Joko Widodo di Seri Perdana untuk majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. - Foto Bernama

Joko Widodo bersama Iriana yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini, tiba pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Jokowi selepas dilantik semula bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Presiden 17 April lepas.

Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut sumber pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri sendiri memilih personaliti terkenal Chef Wan untuk menyediakan kesemua sajian khusus untuk meraikan Joko Widodo dan Iriana hari ini.

Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail ketika ditemui di Seri Perdana berkata, Dr Mahathir bersama 22 anggota keluarganya datang makan tengah hari di restorannya De.Wan 1958 by Chef Wan di Kuala Lumpur Ahad lepas sempena ulang tahun perkahwinan Perdana Menteri yang ke-63.

“Itu merupakan pertama kali Dr Mahathir berkunjung ke kedai saya dan Perdana Menteri sukakan kesemua makanan yang dipesan,” katanya.

Jelas Chef Wan, sehari selepas itu beliau mendapat panggilan dari Jabatan Perdana Menteri memintanya menyediakan makanan untuk 60 orang hari ini sempena lawatan Presiden Indonesia.

“Jadi makanan yang dihidangkan hari ini ialah makanan yang dinikmati Perdana Menteri bersama keluarganya pada Ahad lepas. Menu dari restoran saya,” katanya.

Chef Wan berkata, beliau tidak mempunyai masalah menyediakan makanan untuk seorang ketua negara dalam waktu yang singkat kerana ini bukan kali pertama baginya.

Kebanyakan makanan hari ini dimasak di restoran dan sebahagian sahaja dimasak di Seri Perdana, katanya lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!