Syukur bukan kanser
PENYAMPAI radio Suria, Suraya Borhan menyangkakan dirinya menghidapi penyakit kanser setelah dua kelenjar membengkak di bahagian ruang kanannya.
Namun dia bersyukur apabila doktor mengesahkan dia menghidapi penyakit Kikuchi-Fujimoto Disease (KFD).
Menerusi entri Instagramnya, Suraya memohon maaf kerana sepi dan tidak ke udara di radio sejak akhir ini.
Katanya, dia menerima rawatan selama dua minggu di Hospital Pakar KPJ Damansara pada 12 Disember lalu dan dibenarkan pulang seminggu kemudian.
Memetik Mstar, Suraya telah menjalani pembedahan membuang dua kelenjar di bahagian rahang pada 15 Disember lalu.
Jelasnya kelenjar itu bukan sahaja membengkak tetapi mengakibatkan telinganya sakit.
"Dah makan ubat pun bengkak masih tak surut. Itu yang terus pergi hospital pakar dan doktor kata kena buat pembedahan buang kelenjar bengkak sebab nak tahu penyakit apa.
"Mula-mula itu saya memang risau dan takut kalau ketulan bengkak itu ada kaitan dengan kanser tapi Alhamdulillah bila doktor sahkan bukan kanser, saya rasa macam diberi satu lagi nyawa," katanya.
Dalam pada itu, Suraya memberitahu dia akan bertugas semula di konti pada 10 Januari selepas pulang daripada percutian bersama suami di Korea.
"Doktor beri saya cuti sehingga 2 Januari dan kebetulan pula saya ada minta cuti panjang untuk melancong bersama suami di Korea pada hujung tahun ini.
"Jadi, saya akan sambung cuti sehingga 9 Januari dan akan bertugas semula selepas pulang daripada Korea," ujarnya.
Dalam pada itu, netizen turut mendoakan kesejahteraan Suraya dan berharap sihat seperti sedia kala kerana merindukan suaranya ketika beraksi di konti radio.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!