'Peluang kedua buat anak saya'
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] “Ia ibarat peluang kedua buat anak saya untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.”
Demikian ungkapan kesyukuran Mohd Idzzuan Shaarani, 30, bapa kepada bayi berusia 14 bulan, Idzyraf Alsheeraz yang selesai menjalani pembedahan hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin.
Menurut Mohd Idzzuan, keadaan anaknya agak membimbangkan pada Aidilfitri lepas malah doktor memberitahu peluang untuk anaknya selamat hanya 50-50.
“Masa doktor beritahu keadaan anak, memang saya tak tahu nak kata apa, memang tawakal saja. Doktor kata memang 50-50 tapi Alhamdulillah dia kuat semangat dan berjaya melepasi fasa itu.
“Selepas dia melakukan rawatan di PPUM, keadaannya semakin baik sebab dah terima rawatan. Selepas tahu PPUM tawarkan untuk buat pembedahan, saya rasa lega.
“Saya rasa dia dapat peluang kedua,” katanya.
Mohd Idzzuan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Fakulti Perubatan UM dan Shanghai Jiao Tong University School of Medicine (SJTUSM), di sini petang tadi.
Tambahnya, dia dan isteri, Amirah Izzati Hamidi, 28, tidak berfikir panjang semasa PPUM dengan kerjasama Hospital Renji dari China menawarkan untuk melakukan pembedahan hati buat anaknya.
Menurutnya, dia yakin dengan kepakaran perubatan di Malaysia dan hospital dari China itu lantas memutuskan untuk meneruskan pembedahan itu.
“Saya sebagai bapa nak anak sihat sebab keadaan dia pun agak teruk, fungsi hati pun semakin merosot.
Saya pun tak fikir panjang dan isteri pun bila kami bincang dengan doktor, dia setuju untuk dermakan hati. Alhamdulillah, hati dia paling sesuai dan keadaannya sekarang pun memang baik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM, Prof Dr Kamila Ghazali berkata, beliau menganggap pembedahan pemindahan hati dilakukan di PPUM itu sangat berjaya.
“Dari situ kita dapat pengalaman dan kita dapati beberapa kekurangan yang kita ada di PPUM dan UM.
“Daripada situ juga kita mengharapkan maklumat yang lebih lanjut boleh disampaikan kepada pihak tertentu yang mungkin dapat membantu kita dari segi bantuan kewangan.
“Ia supaya kita dapat mempertingkatkan fasiliti dan kemudahan yang kita ada,” ujarnya.
Tambah beliau, pembedahan tersebut dilakukan sekumpulan profesional perubatan dari PPUM dan pakar dari Hospital Renji melibatkan penderma yang masih bernyawa dan dua kanak-kanak berusia 14 bulan dan 10 tahun.
“Dua kanak-kanak tersebut menjalani pembedahan di PPUM dan kedua-duanya kini dalam keadaan yang baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!