Dua warga Singapura hilang di laut
MERSING - Dua warga Singapura dikhuatiri hilang di laut perairan Mersing, ketika terlibat dalam aktiviti kayak berkumpulan, petang semalam.
Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, yang menaiki kayak secara bersama hilang selepas terpisah daripada kumpulan.
Pemangku Ketua Polis Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, pengadu dikenali Goh Khee Wei, 65, memaklumkan dirinya bersama 15 rakan membuat aktiviti kayak sekitar jam 10 pagi, bermula dari Jeti Penyabong di sini.
"Lebih kurang 5.40 petang, semasa sampai di tempat kejadian (antara Pulau Sri Buat Pahang-Pulau Mertang), satu kayak dinaiki mangsa hilang, telah terpisah dari kumpulan akibat laut bergelora dan angin kuat.
"Usaha mencari dibuat ahli kumpulan tetapi gagal sebelum pengadu membuat laporan di Balai Polis Rompin pada hari ini, sekitar jam 10.30 pagi," katanya di sini hari ini.
Mohd Nor berkata, susulan itu, tindakan mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa diaktifkan membabitkan pelbagai agensi.
"Empat anggota dari Balai Polis Endau, sebuah bot bersama empat anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 anggota Balai Boma dan Penyelamat Endau serta sebuah bot kilat dan lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!