KPM, SPR akan tandatangan perjanjian kerjasama pendidikan pengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menandatangani satu perjanjian persefahaman untuk melaksanakan program kerjasama pendidikan pengundi dalam kalangan para pelajar serta mahasiswa dan mahasiswi dengan lebih bersepadu dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan bersama KPM dan SPR hari ini, kerjasama berkenaan adalah susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas yang telah bersetuju sebulat suara menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Khamis 8 Ogos.

"Menteri Pendidikan menyatakan sokongan penuh kepada SPR terhadap semua inisiatif dan memaklumkan kesediaan KPM untuk membantu SPR di dalam menjalankan semua programnya di sekolah-sekolah dan insititut pengajian tinggi awam," jelas kenyataan itu.

"SPR bersama KPM merancang untuk menganjurkan 'Program Pendidikan Sivik - Road To School' yang melibatkan 2,436 buah sekolah menengah di Malaysia pada 2020. Ini akan melibatkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan enam. Kkira-kira 545,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada program ini," tambahnya.

Jelas kenyataan bersama itu, SPR juga mencadangkan penganjuran forum atau dialog di universiti-universiti awam untuk menimbulkan kesedaran mengenai proses demokrasi dan pilihan raya khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi dan untuk memberi penerangan mengenai pindaan had umur mengundi dan calon kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih automatik.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan semua pelajar dan guru di sekolah mendapat maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya, SPR dan KPM akan memperkenalkan 'QR Code' pada buku teks sekolah.

"Para pelajar dan guru dengan itu bolehlah mendapatkan maklumat terkini dengan mengimbas QR Code itu. Ini akan memastikan pelajar dan guru mendapat maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya tanpa memerlukan pindaan buku teks," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas kenyataan itu, Akademi Pilihan Raya (APR) telah mula menjalankan program pendidikan pengundi pada tahun 2017. Program itu melibatkan pelajar universiti awam, swasta, politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kementerian Kesihatan, Institut Pendidikan Guru dan Institusi Pendidikan Mara. Pada tahun ini program itu diperluaskan ke Kolej Matrikulasi, Institut Latihan Kementerian Sumber Manusia, Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, katanya.

Sehingga 31 Julai 2019, 70 program telah dijalankan dengan penyertaan 33,814 mahasiswa dan pelajar.

Tambah kenyataan itu bermula tahun ini, APR menjalinkan kerjasama strategik bersama Kelab Malaysiaku Jabatan Penerangan dan Maktab Rendah Sains Mara bagi menganjurkan program pendidikan sivik dalam kalangan pelajar sekolah. Sehingga 31 Julai 2019, sebanyak 109 program telah dijalankan dengan penyertaan 25,489 pelajar.

Bagi membantu SPR dalam menyebarluas maklumat mengenai demokrasi dan pilihan raya, APR akan terus menjalankan program APR Associate Trainer (AAT) yang bertujuan untuk melatih mahasiswa universiti sebagai penceramah atau jurulatih bagi mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik dalam kalangan pelajar.

Setakat ini, seramai 187 orang mahasiswa dan mahasiswi telah dilatih dan dilantik menjadi AAT dan mereka sedang giat membantu SPR untuk mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik dalam kalangan pelajar sekolah, katanya lagi. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!