Sarawak miliki muzium bertaraf dunia

KUCHING - Kompleks Muzium Sarawak yang baharu, terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Muzium Sarawak hari ini.
Pemaju projek PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd menyerahkan bangunan unik dan bakal menjadi mercu tanda baharu negeri pada majlis yang disaksikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Muzium bertaraf dunia yang direka dan dilengkapi dengan kemudahan abad ke-21 itu mempunyai ruang pameran interaktif berkeluasan 6,000 meter persegi, untuk mempamerkan kekayaan warisan budaya negeri kepada dunia. Muzium berkenaan akan menerima pengunjung menjelang akhir tahun depan.
Artifak dan spesimen unik akan menjadi sebahagian daripada pameran yang bersedia untuk membawa pengunjung ke dalam perjalanan interaktif yang mempamerkan sejarah dan kehidupan masyarakat Sarawak.
Bangunan berkeluasan 30,000 meter persegi ini yang diperakui Indeks Bangunan Hijau (GBI), bakal menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Abdul Karim berkata, projek muzium itu siap pada Mei lepas dengan kos sebanyak RM308 juta.
Beliau berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan RM15 juta lagi untuk melengkapkan muzium itu dengan kemudahan digital.
"Walaupun kami belum membuka muzium ini kepada orang ramai selepas penyerahan ini, kami berharap dapat mempercepatkan proses penyediaan bahan pameran dalam bangunan ini (dengan artifak dan koleksi) untuk dilancarkan secara rasmi pada pertengahan atau akhir tahun depan," katanya.
Muzium baharu ini akan menjadi pusat pembelajaran bagi menerima sarjana antarabangsa menjalin kerjasama dengan kurator tempatan dalam mendokumentasikan pengetahuan mengenai masa lampau Borneo yang kaya dengan budaya dan alam semula jadi.
Ini selaras dengan usaha mewujudkan Sarawak sebagai pusat tumpuan global yang baharu dalam bidang antropologi yang menarik.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!