Kesesakan di tambak Johor bakal diatasi: Muhyiddin
PAGOH - Kerajaan akan mengambil langkah muktamad bagi menyelesaikan masalah kesesakan serius yang berlaku di tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal diadakan pada 22 Ogos ini.
Menurutnya, perbincangan menyeluruh itu turut menyentuh rancangan bagi jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.
“Perdana Menteri (Dr Mahathir) akan mempengerusikan satu mesyuarat khas dalam bulan ini juga, tak silap 22 hari bulan. Kementerian saya diberikan tugas untuk menyediakan kertas yang lengkap berkaitan kesesakan itu.
“Ia melibatkan segala sudut termasuklah apa yang berlaku, mengapa ia berlaku dan apa langkah-langkah yang boleh diambil. Ini akan dibincangkan dengan Perdana Menteri dan saya fikir ia amat baik kerana perkara ini dah sampai ke peringkat beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Taman Pagoh Jaya, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!