Jokowi sahkan Kalimantan lokasi ibu negara baharu Indonesia
JAKARTA - Presiden Joko Widodo atau Jokowi semalam mengesahkan ibu negara Indonesia akan dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan.
“Pemindahan ibu negara akan dibuat ke Pulau Borneo. Lokasi itu mungkin di Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur atau Kalimantan Selatan. Segala aspek sedang dikaji dengan lebih mendalam bagi memastikan kami membuat keputusan yang betul untuk visi masa depan negara ini.
“Ini adalah visi yang hebat untuk Indonesia bagi tempoh 10, 50 dan 100 tahun akan datang,” jelas Jokowi menerusi Twitter.
April lalu, kerajaan mengumumkan rancangan pemindahan ibu negara dari Jakarta, bandar raya sesak yang mempunyai populasi lebih 10 juta penduduk.
Salah satu faktor keputusan itu dibuat adalah kerana kawasan ibu negara tersebut yang berdataran rendah yang terdedah kepada banjir dan berisiko tenggelam.
Difahamkan, rancangan tersebut pernah disuarakan buat pertama kali pada 1940-an.
“Idea untuk memindahkan ibu negara telah muncul sejak era pemerintahan bekas Presiden Sukarno. Malah, idea itu sering disuarakan pada setiap penggal pemerintahan presiden.
“Tetapi, ia tidak pernah diputuskan atau dibincangkan,” kata Jokowi pada April lalu.
Sebelum ini, pakar telah memberi amaran langkah itu akan menelan kos berbilion Dolar, namun Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro memaklumkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian 100 trilion Rupiah (RM29.5 bilion) akibat kesesakan trafik di Jakarta.
Dalam kempen pilihan raya baru-baru ini, Jokowi berjanji untuk melebarkan pembangunan ekonomi secara lebih meluas di luar Jawa.
Kerajaan bagaimanapun belum mengumumkan butiran logistik utama langkah tersebut. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!