Lelaki cedera jatuh di Air Terjun Jerangkang
KUANTAN - Seorang lelaki cedera di pinggang dan di dagu akibat tergelincir di laluan Air Terjun Jerangkang, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.28 petang memaklumkan kejadian seorang pendaki jatuh ketika menjalani aktiviti mendaki ke puncak Air Terjun Jerangkang.
"Kita telah menggerakkan unit udara dan daratan untuk ke lokasi dan telah pun menemui mangsa, 30. Bagaimanapun keadaan muka bumi tidak mengizinkan helikopter untuk kaedah winching kerana dilitupi hutan tebal.
"Unit udara tiba kira-kira jam 6 petang dan berlegar sekitar 20 minit. Namun keadaan cuaca semakin gelap menyukarkan operasi menyebabkan unit udara terpaksa berpatah balik ke ibu pejabat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat JBPM Indera Mahkota, di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, pada masa sama JBPM sedang menggerakkan 11 anggota pasukan penyelamat menerusi jalan darat untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa dipercayai jatuh ketika sedang mendaki di tingkat 19 air terjun tersebut sebelum tergelincir ke atas batu dari ketinggian tujuh meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!