Kejohanan B-18 AFF 2019: Malaysia temui semula rentak
MALAYSIA akhirnya menemui rentak kemenangan dengan menewaskan Singapura 3-1 pada aksi kedua Kumpulan B pada Kejohanan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Stadium Thong Nat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.
Kemenangan pertama skuad bimbingan Bard Maloney itu menghidupkan harapan menempah tiket ke separuh akhir selepas kalah 1-0 kepada Vietnam pada aksi pembukaan, Selasa lalu.
Muhammad Firdaus Kaironnisam membuka jaringan skuad negara seawal minit keenam selepas menyempurnakan hantaran Muhammad Azam Azmi Murad dari tengah padang untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Biarpun melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan, namun skuad negara gagal melakukan penyudah sebelum Muhammad Firdaus mengambil kesempatan hasil kesilapan pemain pertahanan Singapura, Danial Scott Critchton untuk menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-51.
Bagaimanapun, benteng pertahanan negara yang leka membawa padah apabila Muhammad Zamani Md Zamri merapatkan jurang Singapura pada minit ke-75 sebelum Luqman Hakim Shamsudin mengesahkan tiga mata penting skuad negara pada minit ke-88.
Malaysia akan menentang Kemboja, Ahad ini, sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Australia pada 13 Ogos dan Thailand, dua hari kemudian.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!