Isu Lynas: Penduduk lapor polis individu, wakil rakyat
KUANTAN - Penduduk Kampung Balok dan kampung sekitar hari ini membuat laporan polis sebagai bantahan kepada satu laporan polis yang dibuat seorang individu dan kenyataan seorang wakil rakyat mengenai Lynas.
Terdahulu pada 16 Jun lalu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil penduduk Kuantan dan Balok membuat laporan polis mendakwa Lynas mendatangkan kesan buruk dan menjadi punca pencemaran air.
Sebelum itu pada 31 Mei, seorang wakil rakyat dari Bentong didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai aspirasi Pahang khususnya penduduk Kuantan yang tidak mahu Lynas diteruskan kerana sisa dihasilkan boleh menjejaskan kesihatan.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Balok, Mansor Mokhtar berkata, laporan polis dibuat individu terbabit tidak mendapat persetujuan penduduk, malah pendiriannya juga berbeza.
"Kami telah menyatakan pendirian yang kami hanya mempercayai pakar dan mereka telah menyatakan Lynas adalah selamat.
"Malah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Timbalan Ketua Setiausahanya, Dr Nagulendran menegaskan pada 31 Mei 2019 bahawa Lynas bukan penyebab pencemaran air seperti dinyatakan dalam laporan polis lelaki tersebut," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Beserah di sini petang tadi.
Kira-kira 30 penduduk turut serta sebagai tanda sokongan.
Mansor berkata, laporan polis dibuat individu tersebut mencurigakan dan penduduk berharap siasatan segera dilakukan.
"Kami berharap pihak polis mengambil tindakan dan lakukan siasatan segera.
"Kami mahu pembohongan ini dihentikan dan kami tidak mahu dijadikan alat untuk mereka memperdaya orang ramai," katanya.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat wakil rakyat berkenaan juga tidak menggambarkan kehendak penduduk Kuantan.
"Beliau tidak pernah jumpa kami atau meminta pendapat. Sekali lagi ditekankan kami hanya percaya kenyataan dan penemuan pakar secara saintifik serta bukti nyata," katanya.
Tambahnya, penduduk tidak pernah melantik sesiapa sebagai wakil atau jurucakap mereka dan menyifatkan kenyataan dua individu terbabit sebagai satu pembohongan.
"Cukuplah, hentikan segala putar belit demi kepentingan politik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!