Yingluck diberi kerakyatan Serbia
BELGRADE - Kerajaan Serbia memberi kerakyatan kepada bekas Perdana Menteri Thailand digulingkan, Yingluck Shinawatra yang telah meninggalkan negara itu pada 2017 selepas beliau berdepan tuduhan kecuaian menjalankan tugas yang jika disabit bersalah boleh dihukum penjara 10 tahun.
Belgrade memaklumkan keputusan dibuat pada 27 Jun lalu berdasarkan peruntukan undang-undang yang menyebut warga asing juga boleh mendapat hak kewarganegaraan Serbia jika ia adalah selaras dengan kepentingan negara.
Notis Warta Rasmi tentang perkara itu turut diterbitkan media tempatan semalam, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Yingluck, 52, melarikan diri ke Dubai dan menyertai abangnya, Thaksin yang turut tinggalkan Bangkok pada 2006 untuk mengelakkan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.
Pada 2010, Thaksin turut diberikan kerakyatan kehormat Montenegro yang merupakan bekas rakan seperjuangan Serbia dalam kesatuan negara yang kini tidak lagi berfungsi. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!