Trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama malam ini
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan malam ini berikutan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha, Ahad ini.
Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, setakat 10 malam ini, aliran trafik bergerak perlahan di kawasan Rawang Selatan ke Rawang Utara, Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan Gopeng ke Simpang Pulai.
"Trafik juga perlahan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering dan Bandar Cassia ke Bukit Tambun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Gombak menuju R&R Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.
"Bagaimanapun, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 lancar di kedua-dua arah," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!