Komando VAT 69 bantu operasi cari Nora Anne

Dua anggota polis menampal kenyaataan dan gambar remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, pada papan tanda hentian bas hari ini sebagai alternatif mencari mangsa yang hilang Ahad lepas di sebuah resort di Kampung Pantai. - Foto BERNAMA
Dua anggota polis menampal kenyaataan dan gambar remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, pada papan tanda hentian bas hari ini sebagai alternatif mencari mangsa yang hilang Ahad lepas di sebuah resort di Kampung Pantai. - Foto BERNAMA
A
A
A

NILAI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warganegara Ireland yang dilaporkan hilang Ahad lalu, diperkuat lagi hari ini dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, dua pegawai dan 21 anggota VAT 69 telah melapor diri di sini hari ini.

"Kami akan guna apa juga sumber manusia yang kita ada. VAT 69 adalah pasukan elit yang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk membantu operasi ini," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban, berhubung usaha mencari remaja itu, Nora Anne Quoirin,15.

Selain itu, tiga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Cheras, Kuala Lumpur turut membantu operasi hari ini, menjadikan kekuatan anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan kini menjangkau 261 orang.

Che Zakaria berkata operasi SAR itu diteruskan malam ini dengan penggunaan sembilan dron milik polis dan swasta yang dilengkapi teknologi pengesan haba.

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Nora Anne dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarga pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini, dan remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi keesokkan harinya.

Che Zakaria berkata, tiada sebarang petunjuk kukuh ditemui setakat ini dalam misi mencari Nora Anne, sekali gus menafikan dakwaan kononnya pasukan SAR menemui kesan tapak kaki mangsa seperti dilaporkan beberapa media.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, skop siasatan turut merangkumi aspek komunikasi termasuk log panggilan dan emel resort berkenaan.

Ditanya sama ada tingkap yang dipercayai digunakan Nora Anne untuk keluar boleh dibuka dari luar atau sebaliknya, Che Zakaria berkata ia boleh dibuka dari luar sekiranya tidak berkunci.

"Setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai siasatan orang hilang, dan elemen pihak Jabatan Siasatan Jenayah telah dilibatkan sejak hari pertama operasi, dan setiap hari ia ditingkatkan, termasuk kerjasama dengan Interpol,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!