Co-opbank Pertama sasar pembiayaan RM650 juta
Kamari Zaman Juhari (dua dari kanan) bersama pemenang Kempen Bonanza Co-opbank Pertama (CBP) pada majlis pelancaran Kempen Pembiayaan Persendirian #M4M di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, menerusi kempen itu membolehkan pelanggan menyatukan komitmen kewangan melalui pembiayaan persendirian dengan kadar faedah serendah 3.9 peratus.
“Pelanggan berpeluang menyatukan syer komitmen kewangan mereka bersama CBP.
“Penyatuan komitmen ini dapat memberi ruang kebebasan kewangan kepada pelanggan, di mana komitmen di institusi kewangan lain disatukan ke dalam akaun pembiayaan CBP.
“Ini memudahkan pengurusan kewangan dan memudahkan pembayaran pinjaman pelanggan ,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Kempen Pembiayaan Persendirian #M4M CBP di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, setiap pembiayaan persendirian yang diluluskan layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi sebuah pangsapuri bernilai RM100,000, pakej tajaan umrah atau pelancongan dan telefon bimbit.
Pada majlis itu juga, turut diadakan penyampaian hadiah Kempen Bonanza dan Kempen Labur dan Maju kepada anggota syer yang bertuah.
Bagi Kempen Bonanza, Azman Mohd Salam memenangi tempat pertama dengan membawa pulang sebuah kereta Honda Civic 1.8s.
Makala tempat kedua dan ketiga menerima syer keanggotaan sebanyak RM10,000 dan RM7,000 dimenangi oleh Muhamad Azhar Ismail dan Mohamad Sarif Dahalan.
Untuk Kempen Labur dan Maju, Shahrubaharin Yusoff memenangi bar emas bernilai RM10,000 sebagai pelabur paling tinggi sepanjang kempen dijalankan.
Selain itu, cawangan yang mendapat syer paling tinggi sepanjang Kempen Labur dan Maju juga mendapat ganjaran bernilai RM3,000.
Kempen Bonanza ini telah bermula pada 1 September 2017 hingga 31 Disember 2018 dan Kempen Labur dan Maju telah bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!