Sultan Nazrin berangkat pulang ke Ipoh naik ETS
KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan mencemar duli berangkat pulang ke Ipoh, Perak menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Turut berangkat kedua-dua anak pasangan diraja itu, Raja Kecil Besar Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Puteri Sultan Perak Raja Nazira Safya.
Baginda sekeluarga tiba di Stesen Kuala Lumpur Sentral kira-kira 8.45 pagi dilihat menaiki pengangkutan awam tersebut pada 9 pagi dan dijangka tiba di Ipoh dua jam kemudian.
Sebelum ini keluarga diraja berkenaan telah beberapa kali menggunakan perkhidmatan itu untuk berangkat pulang ke Ipoh selain pernah menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) sewaktu berada di ibu negara.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan menyediakan tambahan dua unit ETS bagi laluan antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Stesen Butterworth sempena Hari Raya Aidiladha, bermula 16 Julai lepas.
Menurut laporan itu, penambahan itu membabitkan tren ETS 9120 dari Stesen Kuala Lumpur Sentral ke Butterworth dan tren ETS 9107 bagi destinasi sebaliknya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!